fb fb fb fb fb

Runtuhan kuari: Kerja pengalihan batu disambung semula

(Kerja-kerja pengalihan bongkah batu besar dilakukan syarikat kuari bagi membuka laluan ke kedudukan sebenar mangsa tertimbus/JBPM)

IPOH, 14 Mac - Kerja pengalihan batu bagi mengenal pasti kedudukan tepat dua mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands sejak Selasa yang dihentikan sementara pagi tadi, disambung semula pada 12.30 tengah tadi, selepas dihentikan seketika susulan runtuhan kecil pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, syarikat kuari ketika ini sedang membina laluan ke lokasi mangsa dipercayai tertimbus.

(Operasi disambung semula 12.30 tengah hari, selepas dihentikan seketika susulan runtuhan kecil pagi tadi)

“Laluan dilakukan oleh tiga jengkaut di mana satu jengkaut ditugaskan untuk pengalihan batu, sementara dua lagi ditugaskan untuk kerja-kerja pemecahan bongkah batu besar dan proses penggerudian.

“Jarak terkini laluan ke titik lokasi (dipercayai) mangsa tertimbus sekitar 20 meter.

“Kerja-kerja diteruskan sehingga ke titik lokasi mangsa, sebelum Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta Unit Anjing Pengesan (K9) digerakkan bagi mengesan kedudukan sebenar mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam kejadian pada jam 9.15 pagi Selasa lepas itu, di tapak kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat sini, dua lelaki dipercayai tertimbus dikenali sebagai Kheow Loo Siew Soon, 49, dan Itam Lasoh, 43.

Manakala dua lagi, Mohd Razli Suhaimi, 35, mengalami patah tulang kaki serta Pan Tam, 38, hanya cedera ringan.

Proses pemantauan secara berterusan turut dijalankan pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) negeri.

 

Media Baharu