BAYAN LEPAS, 29 November- Kerja mengalihkan sisa rasuk yang runtuh dan menimpa sembilan pekerja tapak pembinaan di banggunan logistik di Batu Maung, hampir mencapai 80 peratus.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, usaha mencari dan menyelamat boleh dilakukan segera selepas semua sisa itu dialihkan.
Menurut beliau, operasi mengalihkan rasuk yang bermula dari jam 10.30 malam itu berterusan sehingga kini dan diketuai pihak bomba.
"Keadaan sangat berbahaya di lokasi. Bantuan daripada kren dan pasukan Smart kini dilakukan dan sedang cuba sedaya upaya mengalihkan rasuk itu yang prosesnya boleh dikatakan siap sebanyak 80 peratus.
"Selepas itu jika tidak ada apa-apa, kita akan dapat menjalankan usaha mencari dan menyelamat baki empat mangsa dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.
Katanya, setakat ini tiga disahkan maut dan dua lagi yang parah dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).
"Identiti mangsa tertimbus juga sudah dikenal pasti cuma kita belum jumpa mayatnya. Kejadian masih disiasat malah masih terlalu awal bagi kita menentukan puncanya termasuk siasatan daripada CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia) dan sebagainya," katanya.
Sementara itu Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kerja mengalihkan sebahagian rasuk yang runtuh perlu dilakukan sebelum kerja mencari mangsa dapat diteruskan.