PUTRAJAYA, 29 November - Elaun bagi Pengurus dan Penolong Pengurus Pusat Ekonomi Digital Negara (PEDi) dinaikkan sebanyak RM500 bermula Januari 2024.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata elaun Pengurus dinaikkan dari RM2,000 sebelum ini kepada RM2,500 manakala elaun Penolong Pengurus dinaikkan kepada RM2,000 berbanding RM1,500 sebelum ini.
“PEDi ini merupakan satu strategi yang sangat penting dan kita harus pastikan ia lebih berhasil. Keluarga PEDi akan jadi lebih besar, kita mulakan dengan RM25 juta dan sekiranya perlu tambah, saya akan ikhtiar untuk tambah peruntukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.
Persidangan julung kali diadakan itu ke arah usaha memperkasa komuniti setempat menerusi digitalisasi dalam memenuhi keperluan masa depan yang inovatif.
Belanjawan 2024 memperuntukkan RM25 juta bagi memperkasa peranan PEDi dalam membantu masyarakat setempat.