KUALA LUMPUR, 19 Jun - Perbincangan rundingan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) berkaitan pelaksanaan tarif oleh AS telah berlangsung dengan sangat baik.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan positif itu dimaklumkan kepadanya pagi tadi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
"Pagi ini, saya menerima mesej daripada Menteri MITI dan Menteri Kewangan bahawa pertemuan mereka dengan Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat, telah berjalan dengan amat baik.
"Kami semua menekankan kepentingan untuk memastikan Malaysia mendapat layanan yang adil. Namun dalam masa yang sama, turut membawa suara dan kepentingan ASEAN secara bersama." katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berucap pada Majlis Ucaptama di Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-38: Recalibrating Asia’s Frontiers, di sini.
Semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri telah berlepas ke Washington bagi berunding mengenai tarif Amerika Syarikat (AS).
Tengku Datuk Seri Zafrul sebelum ini mengadakan rundingan bersama Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan, Jamieson Greer di Washington pada April lalu.