SINTOK, 19 Jun – Penglibatan penilai jemputan dari industri media bagi program Seminar Kajian Media atau OSEM 2025 berjaya memberi pengalaman yang sangat membina kepada 82 mahasiswa yang bakal menamatkan pengajian di bawah Program Teknologi Media Universiti Utara Malaysia (UUM).
Penasihat OSEM 2025, Dr. Syazwani Mahsal Khan berkata, mahasiswa yang membentangkan projek tahun akhir dinilai oleh wakil industri dan pensyarah bagi tujuan penambahbaikan projek agar selari dengan keperluan industri media.
“Bagi OSEM 2025, 82 mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Teknologi Media membentangkan projek masing-masing terdiri daripada penghasilan dokumentari, filem pendek dan penulisan tesis di bawah tema “AI-Powered Media: Transforming Content Creation, Distribution and Consumption”.
"Ia bukan sahaja melengkapi kerja kursus program tetapi bertujuan menambah pengalaman kepada mahasiswa yang bakal memasuki industri. Program itu membolehkan mahasiswa Teknologi Media, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) menimba pengalaman secara terus daripada pihak industri yang memberi komen-komen membina terhadap hasil kerja mereka,” jelas beliau.
Tahun ini merupakan kali keenam OSEM dianjurkan untuk memberi nilai tambah kepada mahasiswa SMMTC khususnya pengajian Teknologi Media kerana ekosistem industri yang sangat terkesan dengan ledakan teknologi khususnya kecerdasan buatan (AI).
Penganjuran OSEM 2025 dapat meningkatkan keberkesanan pembelajaran kepada mahasiswa menerusi modul yang sentiasa ditambah baik untuk melahirkan modal insan yang menepati kehendak pasaran dan industri.
Katanya, setiap mahasiswa diberi masa 15 minit bagi membentangkan projek tahun akhir untuk dinilai oleh wakil industri dan pensyarah.
Salah seorang mahasiswa, Nur Zulaika Roslan berkata, pengisian program OSEM memberi impak positif kerana membantu meningkatkan kemahiran pengucapan awam sekaligus memberi lebih keyakinan untuk menyampaikan idea kepada khalayak.
“Melalui sesi soal jawab dengan penilai, setiap maklum balas yang diterima, membolehkan saya memperbaiki kelemahan dalam penghasilan dokumentari saya yang bertajuk, “Kilang Kopi Antong: Tradisi Kopi yang Kekal Sejak 1933”. Pembentangan projek akhir menjadi salah satu kaedah pembelajaran yang saya anggap berkesan kerana pihak yang memberi komen terhadap hasil karya saya bukan hanya pensyarah tetapi juga wakil industri,” jelas Nur Zulaika.
Bagi seorang lagi mahasiswa, Nurin Nadirah Roslan yang menghasilkan dokumentari bertajuk “Misteri Timah Tasoh” berkata, penglibatan pihak industri bagi OSEM 2025 membantu beliau untuk menghasilkan dokumentari yang berkualiti.
“Saya menerima pandangan membina daripada penilai industri dan pensyarah yang dapat membantu saya meningkatkan kemampuan saya menjadi penerbit dokumentari. Penganjuran OSEM 2025 membantu saya menjadi lebih yakin untuk memasuki industri apabila tamat pengajian tidak lama lagi,”katanya.
Menurut Goh Min Rou pula, sesi berkenaan memberi peluang kepadanya mendengar sendiri pandangan pihak industri terhadap hasil karyanya.
Menerusi cara itu, beliau dapat meningkatkan lagi kualiti filem pendek bertajuk “Life at Your Own Pace” yang dihasilkan beliau.