BALIK PULAU, 19 Jun- Musim durian kembali mewarnai Balik Pulau, Pulau Pinang yang sentiasa menjadi lokasi tumpuan utama dengan buah yang terkenal dengan jolokan 'raja buah' di negeri itu.
Musim durian yang sedang bermula ketika ini hingga Julai depan itu dijangka menjadi tarikan pengunjung untuk ke 'Pulau Mutiara' selain lokasi percutian menarik.
Tidak ketinggalan peniaga Abdullah Suhaimi Ismail yang mahu pengunjung di Pulau Pinang merasai keunikan tersendiri durian di Balik Pulau.
"Buah durian sama juga macam biasa, seperti tahun-tahun sebelum ini. Pengunjung perlu cuba dan merasai keunikan durian yang ada di Balik Pulau ini. Cuma dari segi perbezaan harga mungkin sedikit berbeza disebabkan ia baru bermula.
"Untuk permulaan dalam seminggu ini, harga memang sedikit tinggi, nanti harga akan turun selepas itu. Harga juga dipengaruhi dengan bekalan, jangan takut. Bekalan mencukupi," katanya.
Sementara itu pelanggan Siti Nazifa Yahaya berkata, pembelian pada musim durian dilakukan dengan berhemah bagi mengelakkan pembaziran.
"Sebelum membeli durian, saya akan tanya harga dahulu. Sekiranya harga terlalu mahal, saya juga tidak membuat pembelian.
"Saya lebih memilih durian yang mempunyai isi berwarna kuning berbanding warna putih. Bagi saya warna kuning lebih manis," katanya.
Bagi peminat raja buah dari Selangor, Prisshan Nathan sanggup meredah perjalanan jauh ke Pulau Pinang semata-mata untuk merasai keunikan tersendiri durian Balik Pulau.
"Saya dari Banting, Selangor dan saya sanggup datang ke Pulau Pinang semata-mata untuk rasa durian di Balik Pulau ini.
"Durian dekat sini memang sedap dan tak sama dengan durian yang dijual dekat negeri-negeri lain. Jadi itu yang membuatkan saya sanggup untuk ke sini," katanya.
Selain menjadi tarikan pengunjung domestik, keunikan dan kelainan durian Balik Pulau dijangka membawa pelancong luar negara ke negeri itu.
Ia sekali gus membawa limpahan rezeki dan menjana ekonomi peniaga tempatan.