KOTA KINABALU, 10 Ogos - Proses bedah siasat jenazah Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir selesai selepas kira-kira lapan jam prosedur itu dijalankan.
Proses berkenaan bermula kira-kira pada pukul 11.00 pagi tadi dan selesai pada pukul 7.30 malam.
Menurut Peguam, Shahlan Jufri, yang mewakili keluarga allahyarhamah, beliau menyaksikan proses bedah siasat itu dari awal hingga selesai atas permintaan keluarga Zara Qairina.
"Jadi, laporan 'post-mortem' (bedah siasat) akan disediakan oleh pasukan forensik. Tempoh berapa lama itu, pihak hospital yang akan tentukan, saya pun tak berapa pasti.
"Cumanya, yang saya boleh bagitahu, perjalanan 'post-mortem' sangat baik, tidak ada unsur-unsur seperti di media sosial, tangan-tangan ghaib dan sebagainya, tiada.
"Saya sendiri lihat, saya sendiri tengok bagaimana Allahyarhamah Zara Qairina diperiksa sehinggalah selesai, termasuklah organ-organ dalaman dia," katanya di sini.
Tambah beliau, prosedur dijalankan dengan telus , penuh integriti dan lancar.
Beliau menegaskan tiada kehadiran individu kenamaan atau pihak luar semasa proses berlangsung, dan setiap kecederaan diperiksa satu persatu mengikut prosedur.
Laporan penuh bedah siasat dijangka siap dalam tempoh dua minggu hingga dua bulan, bergantung kepada hasil bedah siasat pakar.
Waris keluarga akan berbincang dengan peguam bagi langkah seterusnya, termasuk kemungkinan memohon prosiding inkues.