PUTRAJAYA, 10 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) agar terus kekal relevan dengan melaksanakan transformasi digital sebagai pendekatan utama dalam usaha membanteras dadah di negara ini.
Beliau menegaskan bahawa perubahan kepada pendekatan baharu amat diperlukan bagi memastikan mesej kesedaran dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada golongan sasaran, khususnya generasi muda.
“Saya menyarankan PEMADAM mengadakan pasukan komunikasi digital di setiap negeri, pemerkasaan modul latihan dan advokasi untuk sukarelawan, pembangunan portal maklumat bersepadu dan aplikasi pintar PEMADAM serta kerjasama strategik dengan pempengaruh dan komuniti media sosial,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Dwitahunan PEMADAM ke-46 di sini, hari ini.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, hampir 193,000 kes penyalahgunaan dadah dicatatkan secara nasional pada 2024, bersamaan dengan 566 kes bagi setiap 100,000 penduduk.
Beliau berkata, kes tertinggi adalah di negeri Kelantan yang mencatatkan sebanyak 1,130 kes diikuti Terengganu (974), Perlis (965), Kedah (898) dan Pulau Pinang (803).
“Menurut Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), lebih daripada 65 peratus penagih baharu adalah remaja dan belia, manakala kajian menunjukkan golongan usia 19 hingga 39 tahun menyumbang sekitar 68 peratus daripada jumlah keseluruhan penyalahgunaan dadah,” katanya.
Tambahnya, kerajaan telah membelanjakan lebih RM50 bilion dalam usaha menangani isu penyalahgunaan dadah melalui pelbagai langkah pencegahan, penguatkuasaan dan rawatan.
Katanya, perkara itu menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan pendekatan sedia ada, sekali gus mencetuskan gesaan agar pendekatan baharu diperkenal.
“Inilah cabaran besar yang mesti ditangani oleh saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD). Saya mengharapkan PEMADAM dapat bersama-sama kerajaan di dalam mengekang pengaruh dadah ini,” katanya.