fb fb fb fb fb

Redakan konflik di Myanmar, Malaysia seru blok ASEAN untuk bertindak

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Malaysia menyeru negara anggota ASEAN secara kolektif berusaha meredakan konflik serta membantu menyokong proses damai menamatkan krisis yang sedang berlaku di Myanmar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, blok
ASEAN perlu bertekad melaksanakan setiap mekanisme yang dibincangkan, meski pergolakan sivil di negara itu adalah cabaran untuk diselesaikan.

“Gempa bumi yang melanda Myanmar baru-baru ini menjadi peringatan jelas bahawa bencana alam tidak menunggu kestabilan politik untuk berlaku.

Ia bukan sekadar krisis kemanusiaan, sebaliknya merupakan ujian moral buat kita semua di rantau ini,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Sidang Meja Bulat Asia Pasifik Ke-38 anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) bertemakan “Recalibrating Asia’s Frontiers”, di sini, hari ini.

Tambah beliau, setiap tindakan yang diambil perlu bersifat transformasional dan bukan sekadar transaksional, dalam membawa perubahan pada masa jangka panjang.

Sebelum ini, krisis politik di Myanmar tercetus susulan rampasan kuasa oleh pihak tentera pada Februari 2021, yang menyaksikan peningkatan ketegangan dan krisis kemanusiaan berpanjangan di negara tersebut.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM