PUTRAJAYA, 4 Julai- Rundingan agihan kerusi bagi PRU DUN di enam negeri melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) selesai.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi bayangan mampu menawan dua negeri milik Perikatan Nasional (PN) selain mengekalkan kuasa di tiga negeri.
"Kita bagi ruang kepada negeri untuk berbincang. Namun, perbincangan saya dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah selesai. Pengumuman akan diumumkan kemudian.
"Jadi tiada isu pertindihan dan perebutan kerusi seperti yang telah dibincangkan. Bagaimanapun kita bagi ruang kepada pandangan yang dikemukakan pimpinan negeri sama ada PH atau BN," katanya kepada pemberita di sini.
Pelancaran jentera PRU DUN yang melibatkan enam negeri dijadual berlangsung di Selangor, Jumaat ini.
Dalam perkembangan lain Anwar Ibrahim turut menegaskan, beliau bukan boneka kepada mana-mana pihak selain mengamalkan tolak ansur dan kerjasama baik dengan semua sepanjang tujuh bulan bersama dalam Kerajaan Perpaduan.
"Saya bukan mempertahankan kawan-kawan saya dalam DAP dan dalam jemaah menteri. Sepanjang tujuh bulan ini, mereka tidak pernah mempertikai program yang diadakan sama ada untuk Melayu, orang miskin atau berkaitan Islam.
"Saya tidak menyalahkan sesiapa. Sekiranya pimpinan terdahulu gagal, ia bukan berpunca daripada penyokong," katanya.
(Anwar Ibrahim)