PUTRAJAYA, 4 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan kerajaan Perpaduan pimpinannya mampu mengekalkan tiga negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) bahkan mampu menawan dua negeri pembangkang.
Menurut Anwar, keyakinan itu berdasarkan kajian di lapangan dilaksanakan pasukannya yang menunjukkan kerjasama PH-BN disenangi rakyat.
“Kalau daripada segi BN dan PH kita tentunya tumpu keenam-enam (negeri) tetapi mengikut perkembangan yang ada sekarang setelah semua kajian dibuat, saya lihat tiga negeri ini sangat kuat.
“Sekarang kita menjurus kepada dua negeri (ditadbir Pas) dan (negeri mana) itu saya akan umum nanti,” katanya selepas merasmikan pelancaran ‘Buku Adab Perbezaan Pendapat dalam Pengukuhan Perpaduan Nasional.
Anwar yang juga presiden PKR menambah, PH dan BN akan merasmikan jentera bersama di Selangor Jumaat ini dalam usaha gabungan itu melancarkan gerak kerja di peringkat akar umbi.
PRU DUN kali ini bakal menyaksikan buat pertama kalinya, PH dan BN bergabung bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.
(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)