KUALA LUMPUR, 28 April- Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak dakwaan yang mengatakan bahawa penganjuran majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI sempena Aidilfitri di enam negeri sebagai pembaziran mahupun tindakan ‘menunggang agama’.
Perdana Menteri berkata, program itu dianjurkan kerajaan sebagai usaha mendampingi dan menyantuni rakyat dan bukannya dilaksanakan atas kapasiti peribadi.
Jelas beliau, mana-mana kerajaan akan menganjurkan majlis rumah terbuka.
"Ianya bukan pembaziran kerana kita beri makan kepada rakyat.
(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / FOTO BERNAMA)
"Kalau buat atas kapasiti peribadi termasuk keluarga, wajarlah guna wang dari poket sendiri, tetapi ini anjuran kerajaan untuk rakyat dan perbelanjaan jauh lebih murah jika buat di Alor Setar berbanding di Putrajaya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jaminul Ehsan, Kampung Kubu Gajah di Sungai Buloh di sini yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.