PADANG TERAP, 21 Julai - Sebuah keluarga di Kampung Lubuk Perong, di sini kini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang didiami musnah dalam kebakaran yang berlaku pada petang Khamis lalu.
Kejadian menyebabkan Mohamad Azhar Yaakob, 44, bersama isteri dan tiga anak perempuannya terpaksa tinggal di pondok buluh yang terletak bersebelahan rumahnya.
Rumah Mohamad Azhar musnah terbakar dalam kejadian Khamis lalu
Dalam kejadian pukul 2 petang itu, hanya Mohamad Azhar dan dua orang anaknya Nur Aqeela Az Zahra, 11, dan Nur Amalina, 7 berada di rumah.
Manakala isterinya, Kamsiah Sulaiman, 40, sedang bekerja di sebuah kedai makan berdekatan dan anak sulung berusia 17 tahun, Nur Anis Junaida, masih di sekolah.
Mohamad Azhar Yaakob, 44
"Harap ada mana-mana pihak boleh membantu kami terutama rumah tempat untuk kami berlindung. Memang berharap sangat kerana anak-anak masih kecil dan bersekolah," katanya.
Bencana menimpa keluarga berkenaan turut memusnahkan kelengkapan sekolah anak-anak Mohamad Azhar.
"Habis semua baju, buku, barang apa semua..Harapan saya dapatlah rumah baharu yang selesa serta barang-barang sekolah," kata anak sulungnya Nur Anis Junaida.
"Baju, buku habis terbakar. Nak baju, beg, buku dan rumah baharu," kata anak bongsunya, Nur Amalina pula.
JPN Kedah meninjau pondok buluh yang kini menjadi tempat lima sekeluarga berlindung
Sementara itu, musibah yang menimpa keluarga berkenaan mendapat perhatian Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah (Sektor Pengurusan Sekolah), Abdul Rahim Mat yang tampil menghulurkan sumbangan wang tunai.
Sumbangan berjumlah kira-kira RM5,000 itu hasil kutipan daripada warga JPN Kedah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padang Terap dan warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Syed Ahmad, Kuala Nerang.
Abdul Rahim Mat memeriksa buku sekolah yang musnah terbakar
"Kami prihatin dengan nasib keluarga ini terutama pendidikan anak-anak. Bantuan sudah diuruskan termasuk peralatan persekolahan yang diperlukan.
"Pihak sekolah juga ada buat tabung bencana bagi bantuan lain buat keluarga ini," katanya.