fb fb fb fb fb

6 rumah rosak, bumbung tercabut akibat ribut

Sekurang-kurangnya 6 rumah rosak akibat ribut yang melanda Perlis petang semalam

KANGAR, 21 Julai - Sekurang-kurangnya enam rumah rosak susulan kejadian ribut dan hujan lebat yang melanda Perlis petang semalam.

Kawasan terjejas melibatkan empat rumah di Kampung Bakau, dan masing-masing sebuah di Kota Kayang dan Kampung Bangsal Lebah, di sini dalam kejadian pukul 5.30 petang hingga 6 petang itu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor dalam satu kenyataan berkata, pihaknya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah ke kawasan terjejas bagi mendapatkan maklumat lanjut dan membuat penilaian kerosakan.

2107 PERLIS TINJAUAN RIBUT 2Keadaan bumbung rumah yang tercabut akibat ribut

Beliau menggesa penduduk yang terjejas segera membuat laporan polis dan mengemukakan laporan berkenaan beserta gambar kejadian kepada JKM bagi membolehkan bantuan disalurkan.

Sementara itu, penduduk terjejas yang ditemui RTM menceritakan detik cemas kejadian ribut berkenaan.

"Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang ketika hujan lebat dan dan angin kuat. Saya yang berada di rumah ketika itu tiba-tiba dengar bunyi dentuman kuat dari rumah ibu-bapa saya yang terletak berhampiran.

"Sebaik keluar rumah untuk periksa, saya dapati bumbung rumah semua diterbangkan ribut," katanya.

Seorang lagi penduduk, Salmiah Saad berkata, dia mendapat berita mengenai kejadian ribut berkenaan daripada anaknya yang memaklumkan bumbung rumah tercabut akibat angin kencang.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK