KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China, Li Qiang, mengadakan mesyuarat dua hala di ibu negara hari ini bagi membincangkan pelbagai isu serantau termasuk pengukuhan hubungan perdagangan dan keselamatan serantau.
Dalam pertemuan tertutup selama 15 minit itu, kedua-dua pemimpin berbincang mengenai isu serantau seperti usaha keamanan di sempadan Kemboja-Thailand serta krisis berterusan di Myanmar.
“Sudah banyak kali anda berkunjung ke Malaysia dan saya juga berkunjung ke China, dan saya amat menghargai penyertaan anda.
"Ini sangat bermakna bagi Malaysia dan ASEAN. Saya rasa hari ini kita akan memberi tumpuan kepada isu dua hala,” kata Perdana Menteri ketika memulakan pertemuan itu hari ini.
Antara fokus utama perbincangan termasuk memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan, khususnya dalam sektor automotif dan teknologi tinggi, menerusi pembangunan Automotive High-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim.
Mesyuarat turut menyentuh keterhubungan infrastruktur, antaranya cadangan peluasan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, serta kerjasama dalam elemen nadir bumi (REE), projek paip air Perak–Pulau Pinang, dan industri halal.
Selain itu, kerjasama pelancongan turut diberi perhatian dengan tumpuan kepada usaha menarik lebih banyak penerbangan kargo dari China ke KLIA bagi memperkukuh keterhubungan udara antara kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan potensi kerjasama dalam industri semikonduktor dan menyatakan sokongan terhadap Inisiatif ASEAN Power Grid (APG) yang dipengerusikan Malaysia bagi memperkukuh kerjasama tenaga mampan serantau.
Dalam bidang ekonomi digital, Malaysia turut menjemput syarikat teknologi utama China memperluas pelaburan di negara ini serta menggalakkan kemasukan syarikat baharu dari China menubuhkan operasi di Malaysia.