KUALA LUMPUR, 28 Oktober- Malaysia komited untuk berkongsi pengalaman serta kepakaran dengan negara anggota baharu ASEAN, Timor-Leste, terutama dalam aspek pembangunan luar bandar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama ini tidak hanya tertumpu kepada aspek infrastruktur malah turut merangkumi pembangunan prasarana dan kemudahan asas seperti pendidikan, latihan keusahawanan serta bidang teknikal.
"Pada tahun 1957, ketika itu 93% penduduk Malaysia tinggal di luar bandar. Kini pada tahun 2025, hanya kira-kira 24.7% sahaja yang tinggal di luar bandar di mana ini melibatkan 8.1 juta penduduk Malaysia sahaja yang duduk di luar bandar. Pengalaman inilah yang kita mahu berkongsi dengan Timor-Leste dan kami amat yakin bahawa Timor-Leste akan mengadakan pembangunan di luar bandar ini lebih cepat berbanding dengan Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Malaysia dan Timor-Leste mengenai kerjasama dalam bidang pembangunan luar bandar, di ibu negara.
MoU berkenaan ditandatangani Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Kerjasama Timor-Leste Dr Bendito dos Santos Freitas, bagi memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam bidang berkenaan.
Menerusi MoU tersebut, kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pembangunan modal insan, transformasi digital, pertumbuhan ekonomi dan perkongsian pengetahuan, dengan matlamat meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.
Malaysia turut bersedia berkongsi pengetahuan dan teknologi melalui institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi mempercepatkan kemajuan Timor-Leste agar setara dengan negara-negara ASEAN lain.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Timor-Leste atas pemberian sebidang tanah kepada Malaysia bagi pembinaan bangunan Kedutaan Besar Malaysia di negara itu.