fb fb fb fb fb

Kerangka AI dilaksana bagi menilai potensi penggunaan di Perak

Foto FB Jabatan Penerangan Negeri Perak

IPOH, 28 Oktober - Satu kerangka pelaksanaan teknologi kecerdasan buatan (AI) sedang dilaksana sebagai langkah persediaan untuk menilai potensi dan kesesuaian penggunaan di negeri Perak.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, usaha itu kini di peringkat penyediaan kerangka strategik oleh Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) sebagai agensi pelaksana negeri.

"Kita akan ada siri perundingan kedua selepas siap kerangka elemen AI, tidak lama kita nak siap dan saya jangkakan pada November kita akan siap kerangka elemen AI.

"AI yang kita nak adaptasi di Perak ini pertama dulu platform apa kita nak guna, kemudian elemen yang sesuai dengan AI, jadi ini sedang disiapkan digital Perak", katanya.

Jelas beliau, kerangka tersebut sebagai langkah untuk memastikan negeri berkenaan dapat memanfaatkan potensi teknologi AI, selaras dengan pembangunan infrastruktur digital termasuk pelaksanaan rangkaian 5G.

Beliau bercakap pada majlis Taklimat Belanjawan 2026 Bersama Komuniti MADANI dan Taklimat Internet Selamat Peringkat Negeri Perak di Auditorium RTM Perak Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini hari ini.

Tambahnya, kerajaan negeri akan memperluaskan pendekatan itu ke peringkat akar umbi iaitu melalui semua Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di negeri ini, sekiranya kerangka AI itu dapat dilaksanakan.

Trainee