fb fb fb fb fb

Ilmu, penyelidikan asas penting perkukuh jaringan kerjasama serantau ASEAN

Dr. Mohd Ramlan Mohd Arshad / RTM

KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Ilmu pengetahuan dan penyelidikan menjadi asas penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama serantau ASEAN ke arah kemajuan yang inklusif serta berdaya saing.

Demikian menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohd Ramlan Mohd Arshad.

Menurut beliau, perkongsian ilmu bukan sahaja dalam bidang ekonomi dan teknologi, malah merangkumi pelbagai disiplin termasuk keselamatan, pembangunan sempadan serta penyelidikan sosioekonomi yang mampu mengeratkan hubungan antara negara anggota ASEAN.

“Ilmu merupakan faktor utama yang boleh merapatkan hubungan di antara negara ASEAN. Melalui penyelidikan dan kolaborasi antara universiti di rantau ini, kita dapat melahirkan pengetahuan baharu yang bermanfaat untuk masa depan bersama,” katanya.

Dr. Mohd Ramlan berkata, pendekatan penyelidikan bersama di peringkat ASEAN mampu menjadikan rantau ini sebagai pusat penyelidikan bertaraf dunia, hasil gabungan kepakaran pelbagai negara.

"Setiap negara memiliki kelebihan dan pakar dalam bidang tersendiri, sekiranya kepakaran tersebut digabungkan bawah kerangka ASEAN, kita mampu menjadi pusat penyelidikan serantau yang mampu melahirkan inovasi berimpak tinggi," kata ketika ditemui selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di RTM.

Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh dana penyelidikan bersama di peringkat ASEAN bagi membolehkan lebih banyak kajian berskala besar dilaksanakan, khususnya melibatkan bidang teknologi digital, perubahan iklim dan pembangunan mampan.

Katanya, ASEAN tidak boleh hanya menumpukan kepada penyelesaian isu semasa, sebaliknya perlu melahirkan penyelidik yang mampu membuat unjuran masa depan, termasuk menghadapi kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).

Pembinaan komuniti ilmu yang dinamik melalui perkongsian penyelidikan dan inovasi akan menjadi pemangkin kepada pembangunan mampan dan kemajuan bersama dalam kalangan negara anggota ASEAN.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID