BALIK PULAU, 10 Mac- "Dapat tinggal bersama ibu bapa dan mudah untuk memantau keadaan mereka".
Itu luahan sorang asnaf selepas menerima kediaman yang lebih selesa menerusi Skim Inapan Kasih (SIK) daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP).
Rumah dengan rekaan baharu bernilai RM67,200 itu dibina di Kampung Masjid, Teluk Kumbar.
Syahrol Fitri Abdul Hamid, bapa kepada tiga cahaya mata merupakan penerima pertama yang mendapat rumah dengan rekaan baharu bawah skim tersebut.
Dia yang menetap berjauhan dengan ibu bapanya lega kerana kini boleh membawa mereka tinggal bersama.
"Saya akan bawa mereka tinggal sekali, lagi mudah untuk kami jaga kebajikan mereka. Kebajikan ibu bapa bila duduk sekali tu lagi mudah untuk kami pantau.
"Kalau duduk berjauhan sikit, susah hendak melihat mereka punya makan minum termasuk kalau sakit, demam. Bila tinggal sekali ni akan memudahkan lagi kalau hendak bawa pergi klinik," kata beliau.
(Rumah SIK rekaan baharu diserah kepada penerima)
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) ZPP, Mohamad Kairi Ghazali berkata sepanjang tahun lalu pihaknya telah membina sebanyak 22 unit rumah dan membaik pulih 85 unit rumah.
"Sebanyak 22 buah unit yang telah kita sediakan, dan juga lebih 85 buah rumah yang telah dibaik pulih dan melibatkan kos RM3.05 juta untuk tahun 2022. Insya-Allah kita akan teruskan juga untuk tahun 2023 ini dalam jumlah yang sama insya-Allah," kata beliau di Majlis Serahan Kunci Rumah Skim Inapan Kasih (SIK) Daerah Barat Daya Tahun 2023 di sini.
Rumah rekaan baharu itu berkeluasan 672 kaki persegi.