fb fb fb fb fb

PCKKD diseru terus aktif jalani program terjemah semangat Malaysia Madani

(Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Datuk Seri Mohammad Mentek
ditemu bual Berita RTM selepas Mesyuarat Agung Puspanita Cawangan Kementerian
Komunikasi dan Digital (PCKKD) ke-40 di Putrajaya)

PUTRAJAYA, 10 Mac - Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Datuk Seri Mohammad Mentek menyeru agar Puspanita Cawangan Kementerian Komunikasi Dan Digital (PCKKD) terus aktif menjalankan program dan aktiviti yang merapatkan hubungan dan keharmonian sejagat sekali gus menterjemahkan semangat Malaysia Madani.

Tambah beliau, dengan penekanan keharmonian keluarga membentuk Malaysia Madani, ia dapat menjadi peneraju kepada beberapa inisiatif kebajikan wanita.

"Harapan saya semoga lebih banyak lagi program-program dari segi sosial, program-program dari segi keagamaan, program-program dari segi kebajikan dan juga program dari segi meningkatkan kerjaya masing-masing dapat dianjurkan pada tahun ini.

"Sebab saya percaya program-program ini Puspanita dapat mencungkil bakat-bakat kemahiran yang ada pada ahli Puspanita, selain dapat meningkatkan hubungan 'networking' antara pegawai dan juga isteri kepada pegawai di atas platform Puspanita itu sendiri dan sedikit sebanyak dapat meningkatkan lagi keharmonian di kalangan pegawai wanita dan juga isteri kepada pegawai yang bertugas di KKD," kata beliau ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Puspanita Cawangan Kementerian Komunikasi dan Digital (PCKKD) ke-40, di sini hari ini.

(Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Datuk Seri Mohammad Mentek
merasmikan Mesyuarat Agung Puspanita Cawangan Kementerian Komunikasi dan Digital
(PCKKD) ke-40 di Putrajaya) 

Jelas Mohammad, perancangan dan aktiviti PCKKD semestinya berdaya saing selain bercitrakan kreativiti dan inovasi.

Terdahulu, lebih 500 ahli PCKKD hadir menyertai Mesyuarat Agung ke-40 itu bagi membincangkan hala tuju persatuan serta pembentangan laporan tahunan.

Dalam majlis tersebut, turut dilakukan gimik pelancaran portal PCKKD, penyampaian sumbangan dan Ziarah Kasih, penyampaian Sijil Anak Cemerlang 2021 dan penyampaian Sijil Anugerah PUSPANITA Cemerlang PCKKD 2022.

Media Baharu