KUALA LUMPUR, 10 Mac- Prosedur tuntutan di Mahkamah Syariah bakal diteliti semula di Dewan Rakyat.
Jelas Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, ia adalah langkah untuk mempermudah urusan permohonan kes bagi golongan ibu tunggal.
"Isu utamanya adalah prosedur. Untuk mencapai tujuan itu, ia agak rumit dan tidak semua ada kemampuan untuk menyelesaikan prosedur itu. Jadi, saya mohon untuk ahli parlimen membawa isu ini untuk dipermudahkan.
Undang-undang sudah ada, kita tidak boleh nak pertikai undang-undang tetapi kena permudahkan agar mereka ini dapat mengetengahkan masalah mereka dengan lebih pantas dan dapat jawapan yang tuntas. Seperti kita tahu urusan mahkamah ini mengambil tempoh yang lama," kata Johari kepada pemberita RTM di ibu negara hari ini selepas Sambutan Hari Wanita 2023 peringkat Parlimen.
(Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul ditemui pemberita RTM selepas Sambutan
Hari Wanita 2023 peringkat Parlimen)
Lebih 400 peserta wanita yang terdiri daripada kakitangan, universiti awam dan swasta serta agensi diraikan dalam majlis berkenaan.
Turut diadakan, Bicarawara 'Kasih Wanita dan Legislatif' membincangkan peranan wanita dalam bidang perundangan.