BINTULU, 24 Januari - Sebanyak 11 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas Rumah Panjang Beji Utek di Sungai Kelabat, Sebauh, musnah dalam kebakaran yang berlaku malam tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, kejadian yang dipercayai bermula pada pukul 10.35 malam itu melibatkan 11 pintu bilik rumah panjang tersebut.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.58 malam.
Bagaimanapun, operasi pasukan bomba terpaksa ditangguhkan ke hari ini kerana faktor keselamatan.
"Hujan lebat malam tadi menyebabkan laluan ladang kelapa sawit dan jalan balak menjadi licin, dengan perjalanan ke lokasi dijangka mengambil masa kira-kira tiga jam.
“Keadaan cuaca dan akses ke lokasi memerlukan perancangan rapi bagi memastikan keselamatan pasukan penyelamat,” menurut kenyataan pihak bomba.
Punca kebakaran serta anggaran kerugian yang dialami penghuni rumah panjang berkenaan bagaimanapun masih lagi dalam siasatan..