BUTTERWORTH, 19 Julai – Sebanyak 1,848 unit rumah mampu milik bersaiz 900 kaki persegi yang bakal dibangunkan di Seberang Jaya, Pulau Pinang berpotensi dijadikan model perumahan rakyat peringkat nasional.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek perumahan syarikat pemaju SkyWorld menerusi projek Rumah Bakat MADANI itu menyasarkan kesejahteraan komuniti melalui konsep unik seperti ‘Central Park’ dan ‘Vertical School’.
"Jika projek ini berjaya, ia boleh dijadikan contoh konsep perumahan modular yang tepat, cekap dan menggunakan teknologi moden yang terbukti berkesan.
“Ia merupakan antara model pembinaan terkini dalam sektor perumahan awam moden dan boleh dijadikan rujukan untuk program nasional. Saya percaya konsep ini juga boleh dikembangkan ke negara-negara Asia lain kerana isu perumahan awam kini menjadi keutamaan serantau," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pada Majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Projek Pembangunan Rumah Bakat MADANI SkyWorld Pearlmont di sini.
Majlis itu dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Setiap unit Rumah Bakat MADANI berkeluasan 900 kaki persegi, lengkap dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air, ditawarkan pada harga antara RM225,000 hingga RM420,000 dengan status pegangan kekal.
Kediaman itu turut dilengkapi pelbagai kemudahan moden seperti kolam renang, gimnasium, gelanggang sukan (badminton dan pickleball), dewan serba guna, tadika, surau, gerai, kedai serta taman permainan kanak-kanak.