fb fb fb fb fb

Ulama disaran terus beri pandangan, cadangan kepada kerajaan

Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar/Foto Bernama

PUTRAJAYA, 19 Julai - Golongan ulama disaran supaya terus memainkan peranan aktif memberikan pandangan, cadangan dan teguran kepada kerajaan dalam isu berkaitan kepentingan umat Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, hubungan ulama dan pemimpin perlu diperkukuh agar pemimpin dapat memimpin negara dalam landasan yang betul.

“Kalau ada satu-satu isu dirasakan perlukan teguran (dan) nasihat, kita (kerajaan) bersedia. Sebab itu kita adakan Muzakarah Umara’ dan Ulama’ Pondok Kebangsaan (UMRAN) 2025 dengan harapan pemimpin negara sentiasa rapat dan berdekatan dengan ulama yang membimbing ke arah jalan yang benar,” katanya.

Datuk Dr Mohd Na’im berkata, demikian kepada pemberita selepas merasmikan UMRAN 2025 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

Bertemakan ‘Fiqh Mizan Dalam Memacu Ummah MADANI’, UMRAN berlangsung selama tiga hari bermula semalam dan menghimpunkan 200 guru pondok serta cendekiawan dari seluruh negara.

Datuk Dr Mohd Na’im berkata, perkara itu selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melihat golongan ulama pondok memainkan peranan lebih aktif dengan memberikan cadangan dan pandangan kepada kerajaan.

Beliau berkata, pihaknya merancang menganjurkan UMRAN secara berkala bagi memberikan ruang kepada ulama dari institusi pondok berhimpun, bertukar pandangan dan membina jaringan antara satu sama lain.

“Ini platform untuk guru pondok saling berkongsi pandangan dan melihat perkembangan pondok lain. Kita harap pertemuan ini dapat memperkukuh peranan mereka dalam masyarakat,” katanya.

Beliau juga menyifatkan UMRAN sangat signifikan sebagai jambatan menyatukan kekuatan fiqh serta pentadbiran, agar suara ulama tidak asing daripada dasar negara dan gagasan kenegaraan pula tidak jauh daripada bimbingan syariah.

Terdahulu dalam ucapan, beliau berkata, institusi pondok tidak boleh kekal sebagai institusi bersifat kampung semata-mata, sebaliknya perlu diangkat ke peringkat kenegaraan dengan pendekatan lebih progresif tanpa mengabaikan ’roh’ asal.

Beliau berkata, beberapa langkah pembaharuan perlu diambil bagi memastikan pendidikan pondok terus relevan dalam arus perubahan semasa.

“Antaranya ialah meningkatkan kefahaman guru pondok terhadap wacana ilmu semasa dan isu global, mendedahkan pelajar kepada teknologi, bahasa asing dan asas pentadbiran selain memperkukuh aspek keselamatan, keselesaan serta jaringan kerjasama antara institusi pondok,” katanya.-BERNAMA

ASHRIQ FAHMY AHMAD