SEBERNAG JAYA, 19 Julai – Pelancaran projek perumahan Rumah Bakat MADANI di Pulau Pinang disambut baik orang ramai.
Projek berkenaan disifatkan sebagai usaha kerajaan membantu rakyat untuk memiliki kediaman masing-masing.
Seorang pembeli rumah, Nurul Shahira Shahrizan yang ditemui RTM menyifatkan projek tersebut sebagai berbaloi dari segi harga dan kemudahan yang ditawarkan.
"Bagi saya, dengan kawasan sekeliling dan semua fasiliti yang lengkap, harga yang ditawarkan sangat berpatutan. Kalau dibandingkan dengan projek lain di kawasan ini, memang sangat strategik dan harganya pula sangat berbaloi,” katanya.
Pandangan sama turut dikongsi oleh Igmal Hairi Abdul Aziz yang menyifatkan pembangunan itu sebagai pilihan bernilai tinggi, terutamanya di Pulau Pinang.
“Saya tertarik dengan projek ini kerana harga mampu milik, fasiliti lengkap dan persekitaran yang baik. Memang sangat berbaloi, apatah lagi dengan pasaran hartanah di Pulau Pinang yang semakin meningkat,” ujarnya.
Sementara itu, Mashita Che Mansor, penduduk sekitar kawasan pembangunan berkata, tawaran kerajaan ini sangat dialu-alukan kerana mampu memenuhi keperluan penduduk tempatan yang mencari kediaman selesa pada harga berpatutan.
"Saya tinggal berhampiran kawasan ini, jadi bila dapat tahu ada projek baru dengan harga yang menarik, saya terus datang tengok. Reka bentuk bangunan dan kemudahannya sangat menarik. Usaha kerajaan MADANI ini memang patut dipuji," katanya.
Setiap unit Rumah Bakat MADANI berkeluasan 900 kaki persegi, lengkap dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air, ditawarkan pada harga antara RM225,000 hingga RM420,000 dengan status pegangan kekal.
Kediaman itu turut menawarkan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, gelanggang sukan (badminton dan pickleball), dewan serba guna, tadika, surau, gerai, kedai serta taman permainan kanak-kanak.