TELUK KUMBAR, 19 Julai - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta bagi menaik taraf kemudahan asas di sekitar kawasan Barat Daya terutamanya Teluk Kumbar dan Balik Pulau.
Perdana Menteri turut bersetuju membina Mini Pusat Transformasi Bandar (UTC) di kompleks tersebut sebagai usaha mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat di kawasan Barat Daya Pulau Pinang.
Ia susulan permohonan pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang memohon kemudahan UTC berskala kecil bagi kemudahan penduduk, memandangkan UTC terdekat di Georgetown terletak lebih 20 kilometer dan sering sesak.
"Saya amat gembira dengan pelaksanaan projek tanah Kompleks MADANI yang bersifat menyeluruh, bukan sekadar melibatkan pembinaan dewan dan ruang perniagaan, tetapi turut merangkumi pembangunan berskala besar yang mampu memenuhi keperluan penduduk setempat.
"Bagi menyokong pelaksanaan projek ini serta pembangunan di kawasan sekitar, saya akan maklumkan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk menambah peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta selain yang telah diluluskan bagi kemudahan asas di daerah Barat Daya, termasuk Teluk Kumbar dan Balik Pulau," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Pecah Tanah Projek Kompleks Pasar MADANI Teluk Kumbar di sini.
Projek Kompleks Pasar MADANI Teluk Kumbar melibatkan bangunan dua tingkat berkeluasan 74,000 kaki persegi di atas tanah seluas 37 ekar.
Kompleks itu akan menempatkan 48 gerai pasar basah dan runcit, 30 gerai makanan dan minuman, lapan kios niaga serta dewan serbaguna yang mampu menempatkan 720 orang dan mampu menempatkan lima gelanggang badminton.
Lebih 100 petak parkir, serta ruang motosikal dan basikal turut disediakan untuk keselesaan pengguna.
Projek bernilai RM25 juta itu dibiayai Majlis Bandar Raya Pulau Pinang (MBPP) secara berperingkat melalui tiga bajet tahunan, dan dijangka siap pada 31 Januari 2027.