KUALA LUMPUR, 28 Oktober- Usaha memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid di sekolah terus diperkasa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Justeru, latihan psikologi dan kaunseling profesional diberikan kepada warden serta guru disiplin di sekolah berasrama.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata KPM mengiktiraf peranan penting guru tersebut bukan sahaja dalam mengurus kebajikan murid di asrama, tetapi juga sebagai barisan hadapan mengesan tanda-tanda awal murid yang berpotensi menjadi pembuli atau mangsa buli.
Jelasnya, pada tahun 2024, KPM telah melaksanakan latihan kursus kepada lebih 1,500 peserta melibatkan guru bimbingan dan kaunseling serta kaunselor pendidikan, dengan fokus kepada peningkatan kompetensi menangani isu buli di sekolah.
"Latihan ini dijalankan dengan kerjasama kaunselor pendidikan serta pakar dalam menangani krisis, trauma dan gangguan seksual, melibatkan 1,788 peserta iaitu 1,558 guru bimbingan dan kaunseling serta 230 kaunselor pendidikan.
Kesemua peserta ini akan berperanan sebagai jurulatih utama,” katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Sidang dewan turut dimaklumkan latihan berkenaan diperluas pada tahun 2025, melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan liputan yang lebih besar melibatkan 8,244 guru termasuk warden, guru disiplin serta guru lain di seluruh negara.
Latihan tersebut menekankan aspek psikologi dan kaunseling bagi membantu guru mengenal pasti tanda-tanda awal murid berisiko sebagai pembuli atau mangsa buli.
Sementara itu, bagi tahun 2026, KPM memberi keutamaan kepada pelaksanaan latihan Psychological First Aid (PFA) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang akan diperluas ke peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
"KPM turut memperkukuh pelaksanaan program Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) yang memberikan pendedahan kepada guru mengenai ilmu asas psikologi dan kaunseling. Peranan AKRAB diperluaskan di institusi pendidikan di bawah KPM sebagai kumpulan sokongan psikologi rujukan di sekolah."
“Sehingga 2024, seramai 500 Pengetua dan Guru Besar telah ditauliahkan sebagai AKRAB, manakala tahun ini, 312 pegawai daripada bahagian KPM dan JPN disasarkan mengikuti latihan AKRAB,” jelasnya semasa menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Seri Doris Sophia anak Brodi.