fb fb fb fb fb

Perpaduan bukan sekadar slogan, tunjang utama kelangsungan negara bangsa - PM

Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 19 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perpaduan bukan sekadar slogan, sebaliknya merupakan tunjang utama yang menjamin kelangsungan sebuah negara bangsa.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar yang merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025 di Pulau Pinang hari ini, menzahirkan penghargaan kepada Menteri Perpaduan, barisan tenaga kerja serta jentera negeri atas komitmen padu dalam menjayakan acara tersebut.

"Di Pulau Pinang, saya saksikan betapa terpaculnya keakraban rakyat antara kaum hadir menyambut Minggu Perpaduan. Terima kasih kepada Menteri Perpaduan serta barisan tenaga serta jentera negeri atas kerjasama dan komitmen yang padu," katanya.

Perdana Menteri turut menekankan bahawa kepelbagaian bukan halangan, malah merupakan kekuatan yang harus digarap berlandaskan prinsip keadilan dan ihsan.

Beliau berkata, prinsip 'harmoni dalam kepelbagaian' jelas diangkat sebagai asas pendekatan negara dalam menangani pelbagai cabaran antara kaum, termasuk Melayu, Cina, India, Iban, dan Kadazan.

"Pendekatan kita bukan retorik hasutan, tetapi merupakan penyelesaian yang nyata dan menyeluruh. Perumahan MADANI seperti di Batu Kawan dan inisiatif Teratai MADANI adalah bukti bagaimana pembangunan mampu dilaksana secara terangkum," ujar beliau.

Pada majlis sambutan berkenaan, beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan segera sebanyak RM10 juta kepada Kementerian Perpaduan bagi memperkasa perpaduan dalam kalangan rakyat.

"Malaysia semakin diyakini di mata dunia, tetapi bukan kerana saya, tetapi atas sebab usaha kolektif seluruh lapisan masyarakat yang menolak kebencian serta memilih kestabilan. Kita buktikan betapa kematangan di kalangan rakyat adalah teras keamanan dan keamanan adalah prasyarat kemasukan serta kemajuan," katanya.

Beliau turut menyeru rakyat agar terus mara ke hadapan bukan dengan cercaan dan maki hamun, tetapi dengan dasar adil, tekad yang jelas serta perpaduan utuh.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN