KUALA LUMPUR, 3 Oktober -Misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang disertai aktivis dari lebih 44 negara merupakan lambang keberanian dan kesatuan hati masyarakat global menentang kezaliman.
Khatib Ustaz Hazman Hashim menerusi khutbah Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya menegaskan, isu pembebasan Palestin bukan isu politik semata-mata.
Sebaliknya, ia adalah satu isu kemanusiaan yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat dunia khususnya umat Islam.
Jelasnya, doa dan solidariti terhadap rakyat Palestin perlu terus dizahirkan kerana ia merupakan sebahagian daripada ibadah dan tuntutan iman.
"Kita di Malaysia juga mesti menyahut seruan ini, dengan doa yang tidak putus agar misi mereka diberi kejayaan. Sesungguhnya, inilah tanda kecil sumbangan kita kepada Gaza dan Palestin, bumi perjuangan yang tidak pernah padam daripada doa umat Islam seluruh dunia.
"Kita hendaklah menyokong segala usaha kerajaan dalam misi menuntut pembebasan dan keselamatan peserta misi terutamanya dari kalangan rakyat Malaysia. Kita juga menuntut agar jaminan laluan selamat pergi dan balik bagi sumud flotilla, supaya bantuan dapat sampai tanpa sebarang sekatan," katanya.
Ustaz Hazman turut menegaskan amat penting untuk mendidik generasi muda untuk memahami bahawa perjuangan membebaskan Palestin tidak akan pernah terhenti sehingga ke hari kiamat. Ia merupakan satu amanah dan bukti cinta kepada Masjid al-Aqsa.
Beliau turut menyeru masyarakat menghulurkan infaq dan sumbangan kerana setiap ringgit yang didermakan adalah cahaya kehidupan bagi anak-anak Gaza yang kelaparan.