fb fb fb fb fb

Rujuk kes luar, perkukuh kejuruteraan forensik elak kegagalan struktur

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan bercakap dalam sidang media sebelum merasmikan Program International Seminar on Forensic Engineering (ISoF) 2025, di Putrajaya

PUTRAJAYA, 25 September -Kemungkina kejadian seperti lubang benam boleh dicegah melalui rujukan terhadap kes-kes luar negara dan penelitian dalam bidang kejuruteraan forensik.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kejuruteraan forensik memainkan peranan penting dalam mengenal pasti punca kegagalan struktur, sekali gus memastikan pembangunan yang lebih selamat.

Beliau juga berpandangan pengalaman dari negara jiran dan tragedi luar negara perlu dijadikan rujukan penting bagi memperkemas sistem pemantauan dan penguatkuasaan di Malaysia.

Ia termasuk mengambil cakna insiden tanah mendap seperti yang berlaku di Thailand baru-baru ini agar perkara sama tidak berulang di Malaysia.

"Saya melihat video Thailand itu menyeramkan juga wah dahsyat ya, 50 meter agaknya ya ke bawah dan bagaimana perkara itu boleh berlaku sedemikian rupa. Kita mengambil segala apa yang berlaku di luar negara ini sebagai rujukan kes bagi mengelakkan ia berlaku di negara kitalah. Jika ada struktur bangunan atau jalan yang gagal, maka kita kenal pasti kenapa struktur bangunan dan jalan itu rosak dan gagal itu dipanggil forensik engineering kejuruteraan forensik.

"Daripada laporan-laporan itu kita boleh menjamin infrastruktur kukuh, tahan berkualiti tinggi yang penting dia bukan hanya mengetahui kenapa satu-satu itu struktur itu gagal tapi yang penting adalah apakah dasar-dasar untuk menghadapi supaya tidak berlaku pada masa hadapan," katanya pada sidang media sebelum merasmikan Program International Seminar on Forensic Engineering (ISoF) 2025, di sini.

Jelasnya, seminar itu bermatlamat sebagai satu platform penting untuk memperkukuh bidang kejuruteraan forensik sebagai asas kepada pembangunan infrastruktur negara yang lebih selamat, mampan dan berdaya tahan.

ISoF 2025 turut menampilkan pakar-pakar dalam bidang kejuruteraan forensik dari dalam dan luar negara dengan membincangkan isu-isu semasa antaranya geoforensik, integriti struktur dan konkrit, digitalisasi maklumat dan kejuruteraan turapan jalan raya.

Penganjuran seminar itu juga mengukuhkan peranan KKR sebagai peneraju kejuruteraan forensik, seterusnya membuktikan komitmen kerajaan dalam menyediakan infrastruktur selamat dan berdaya tahan.

TETITIA YUSOFF