fb fb fb fb fb

Rujuk garis panduan RKK bagi pembangunan kawasan bersejarah

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad

TAIPING, 20 Januari - Pembangunan warisan sejarah tidak hanya melibatkan sektor pelancongan malah turut merangkumi pendidikan dan kesedaran masyarakat serta pelaksanaannya perlu merujuk kepada garis panduan ditetapkan dalam Rancangan Kawasan Khas (RKK).

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan menepati piawaian selain memastikan sejarah, seni dan budaya diwarisi kepada generasi akan datang.

“RKK ini diwujudkan untuk mengelakkan daripada sebarang bentuk pembangunan yang dibuat dengan sewenang-wenangnya dan sekiranya tidak dikawal, ia akan memusnahkan nilai-nilai warisan itu.

"Banyak bahan sejarah yang secara bertulis dan ada artifaknya kita lihat tadi menunjukkan bahawa Taiping merupakan bandar warisan yang menyimpan bahan-bahan sejarah yang sangat bernilai dan kita harap Majlis Perbandaran Taiping dan semua pihak termasuk muzium arkib dapat menyimpan dengan baik untuk generasi akan datang," kata Saarani dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-150 Bandar Taiping di Dataran Warisan Taiping.

Bersempena sambutan 150 tahun itu sebanyak 150 acara disusun sepanjang tahun melibatkan peringkat antarabangsa, kebangsaan, negeri dan komuniti.

Saarani berkata pematuhan terhadap RKK itu juga secara tidak langsung membantu kerajaan negeri ke arah menjadikan Perak sebagai destinasi pelancongan bertemakan alam semula jadi dan warisan bertaraf dunia.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya menyokong penuh usaha dilakukan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dalam melaksanakan sambutan Ulang Tahun Ke-150 Bandar Taiping.

Beliau berkata inisiatif berkenaan merupakan satu daripada pendekatan yang mampu memberi nilai tambah dalam menggalakkan aktiviti kemasyarakatan selain penghayatan terhadap nilai-nilai warisan sejarah khsusunya dalam kalangan golongan belia.

TETITIA YUSOFF