fb fb fb fb fb

RTMKlik platform terbaharu penggiat industri kreatif

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Februari – RTMKlik kini membuka peluang kepada penggiat industri kreatif tempatan untuk menghasilkan karya bermutu dan berimpak tinggi di platform over-the-top (OTT) berkenaan.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata buat pertama kali, RTMKlik dibuka untuk perolehan kandungan, memberi peluang kepada syarikat pembekal untuk memeriahkan platform tersebut.

“Kita perlu ada pembaharuan, terutama dalam RTMKlik kerana ramai yang menonton di platform ini. Contohnya, kita sudah menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk berita Mandarin, dan langkah seterusnya adalah menghasilkan kandungan luar daripada kebiasaan.

“Saya lihat penerbit dan pembekal yang hadir hari ini memahami apa yang kami mahukan dan bersedia bekerjasama dalam pelbagai bentuk untuk menghasilkan kandungan yang berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Taklimat Perolehan Kandungan Program TV RTM Fasa 1 Tahun 2025 di Angkasapuri Kota Media, yang dihadiri kira-kira 1,000 penggiat industri tempatan.

Selain mudah diakses, RTMKlik kini menjadi pilihan terkini dan berpotensi untuk mempromosikan hasil karya tempatan ke peringkat antarabangsa.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN