fb fb fb fb fb

RTM terus pacu inovasi penyiaran, Salam Baitullah 2025 ketengah AI

Majlis Pelancaran Salam Baitullah 2025 di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam

KUALA LUMPUR, 14 Mei- Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus memacu inovasi dalam penyiaran kandungan islamik menerusi Salam Baitullah 2025, yang mengetengahkan penggunaan kecerdasan buatan atau AI.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata program yang memasuki musim ke-17 itu menyasarkan dua juta tontonan setiap hari.

Selain mencipta kelainan besar dan langkah tersebut menjadikan program berkenaan lebih interaktif dan membawa penonton seakan berada di lokasi sebenar sejajar dengan trend penyiaran digital moden.

"Buat julung kalinya RTM menggunakan penggunaan kecerdasan buatan atau AI dalam pengisian rancangan ini bukan sekadar nilai tambah visual tetapi langkah berani RTM menyampaikan kandungan dakwah melalui pendekatan teknologi masa kini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Salam Baitullah 2025 yang disiarkan secara langsung di TV1 berkonsepkan hologram.

1405 SALAM BAITULLAH HOLOGRAM AI 2Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman

Sementara itu penerbit bersama Salam Baitullah 2025 Mohammed Shahril Sarapudin dan Nuraishah Mohd Yusof berkata proses pembangunan konsep teknologi program tersebut telah melalui beberapa fasa penting dan mengambil masa hampir empat bulan untuk disiapkan.

"Selepas itu kita juga mengadakan perbincangan bersama pihak grafik tentang AI. Ia bagi menyesuai garapan yang ingin diketengahkan pada program tersebut.

"Untuk konsep Rehlah Haramain kita bawa garapan 'mixed reality' maksudnya situasi di lokasi sebenar ditambah dengan visual kecerdasan buatan.

"Di sini penonton akan dibekalkan dengan satu pengalaman menarik dengan menuunjukkan lokasi sebenar dan imbasan apa yang berlaku ketika zaman nabi. Itu jarang-jarang berlaku dalam bentuk visual dan penceritaannya," kata Mohammed Shahril.

Dalam pada itu Mohammed Shahril turut memaklumkan bahawa pasukannya dalam fasa akhir sebelum tayangan rasmi kepada penonton.

Kali ini Salam Baitullah 2025 mengangkat tema 'Seruan Ilahi, Cahaya Nurani' dan bakal bersiaran selama 16 episod bermula 24 Mei hingga 7 Jun, setiap hari pukul 9.00 malam hingga 10.30 malam di TV1 dan platform digital RTM.

Antara segmen yang mencerminkan penggunaan teknologi tersebut termasuk 'Rehlah Haramain', yang memberi gambaran visual sirah Rasulullah SAW dengan bantuan AI, serta 'Muslim World', yang menampilkan tokoh antarabangsa secara hologram.

Program ibadah yang menjadi simbol penyiaran islamik masa depan itu bakal bersiaran langsung dari Masjid Putra, Putrajaya dengan dua pengacara berpengalaman Fakhrul Radhi dan Jalal Zaiki serta segmen audio siar baharu bersama Zizi Kirana.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI