fb fb fb fb fb

PDRM kaji langkah tambahan lindung keselamatan anggota semasa guna kenderaan pasukan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain./ Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 14 Mei- Bukit Aman dalam proses mengenal pasti langkah tambahan bagi menjamin keselamatan anggota polis semasa mobilisasi untuk tugasan atau tujuan berkaitan lain dengan menggunakan kenderaan pasukan.

Ia susulan tragedi sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) maut dalam nahas membabitkan trak dinaiki mereka dengan lori membawa muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam di Teluk Intan, Perak, semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata perbincangan akan diadakan dengan pimpinan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

"Isu ini bukan sahaja melibatkan FRU kerana elemen polis yang lain di bawah KDNKA juga menggunakan trak seumpama itu untuk mengangkut anggota termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Antara sedang dikaji termasuk penambahan sistem yang lebih baik bagi melindungi penumpang dalam trak, namun trak ini mempunyai bangku panjang yang mungkin serasi atau tidak untuk sistem itu," katanya.

Beliau berkata, satu lagi langkah sedang dipertimbangkan ialah penggunaan bas untuk membawa anggota bagi perjalanan antara kem dan lokasi operasi.

"Terdapat isu bajet yang telah kami kenal pasti sekiranya bas digunakan kerana kami akan memerlukan lebih daripada satu bas untuk mengangkut anggota antara lokasi operasi.

"Langkah lain sedang kami pertimbangkan dan menunjukkan potensi ialah memastikan konvoi dikawal oleh kereta peronda polis antara lokasi.

"Maksudnya kereta peronda akan mengiringi konvoi dan akan menyerahkan tugas pengiring kepada kereta peronda lain apabila merentas sempadan negeri," katanya.

Tan Sri Razarudin berkata, sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas perbincangan diadakan dengan KDNKA.

"Keselamatan anggota adalah keutamaan dan kami akan mencari langkah sesuai untuk memastikan perkara ini. Kami akan duduk berbincang, menganalisis dan mencari penyelesaian terbaik," katanya.

MOHAN CHINNASAMY