fb fb fb fb fb

RTM tampil kelainan liputan Sambutan Hari Kebangsaan 2025

Penerbit Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM 2025), Jasmaidy Mat Aroff

KUALA LUMPUR, 22 Ogos - Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai penyiar rasmi Sambutan Hari Kebangsaan 2025 menampilkan kelainan dalam liputan siaran langsung kali ini bagi memastikan rakyat di seluruh negara menikmati kemeriahan sambutan.

Penerbit Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM 2025), Jasmaidy Mat Aroff, berkata liputan kali ini akan dimulakan lebih awal dengan lintas langsung dari Sabah dan Sarawak bermula pukul 7.00 pagi.

“Untuk kelainan siaran langsung pada tahun ni, kita bermula siaran pada pukul 7 dan diawal tu kita akan buat lintas langsung ke Sabah dan Sarawak.

"Tujuannya supaya penonton dapat melihat sendiri kemeriahan sambutan di Kota Kinabalu dan Kuching sebelum acara rasmi bermula pada pukul 7.40 pagi,” katanya kepada pemberita di Angkasapuri, Kota Media.

Beliau berkata RTM turut memperkenalkan penggunaan kamera 360 darjah buat pertama kalinya bagi memberikan pengalaman berbeza kepada penonton di rumah.

“Kamera ini akan berlegar-legar di kawasan perbarisan bagi memberikan sudut pandang luar biasa seolah-olah penonton berada dalam perbarisan itu sendiri. Kita juga menambah penggunaan action camera pada kereta berhias serta aset baharu yang dipamerkan,” jelasnya.

Sambutan Hari Kebangsaan 2025 akan berlangsung di Putrajaya dengan pelbagai pengisian acara rasmi dan persembahan menarik, disiarkan secara langsung di semua platform RTM.

ROSLINA BINTI DIN