KUALA LUMPUR, 22 Ogos- Radio Televisyen Malaysia (RTM) memberi kelainan sempena liputan Sambutan Hari Kebangsaan & Hari Malaysia (HKHM) 2025 dengan memperkenalkan Pocket Show sebagai segmen tambahan.
Penerbit Pocket Show HKHM 2025, Syafiq Adri Fitri berkata segmen itu memberi peluang penonton menyaksikan sisi unik sambutan yang tidak dipaparkan dalam liputan utama.
“Fungsi Pocket Show ialah mencari perkara-perkara unik seperti keluarga yang datang berpakaian lengkap bertema kebangsaan atau keunikan penonton yang hadir seawal sehari sebelum acara bermula," kata Syafiq kepada pemberita RTM, hari ini.
Beliau ditemui selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia, di Angkasapuri Kota Media, di sini.
Tambahnya, kreativiti rakyat Malaysia menjadi pengisian utama segmen tersebut kerana semua elemen menarik hanya dapat dirakam secara langsung di lokasi pada hari kejadian.
“Kreativiti pocket show sebenarnya bukan daripada kami, tetapi daripada rakyat Malaysia sendiri. Nanti kita akan bawakan kepada penonton untuk tengok dengan sendirinya apa yang best dan apa yang bakal tular," ujarnya.
Beliau menjelaskan Pocket Show akan bersiaran pada awal dan penghujung acara bagi menampilkan suasana sebelum dan selepas perarakan rasmi berlangsung.