fb fb fb fb fb

JBPM terima sumbangan dua jentera Fire Rescue Tender

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohamad

PUTRAJAYA, 22 Ogos – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima sumbangan dua buah jentera Fire Rescue Tender (FRT) daripada MMC Gamuda KVMRTT.

Sumbangan itu disampaikan sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat berkenaan, bagi memperkukuh keberkesanan operasi pasukan bomba di balai yang memerlukan.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohamad berkata, tambahan aset baharu ini mampu meningkatkan keupayaan pasukan dari segi kesiapsiagaan dan mempercepatkan masa tindak balas dalam operasi kebombaan serta penyelamatan.

"Jadi projek ini ataupun jentera ini pada asalnya telah digunakan oleh pihak MMC Gamuda KVMRTT untuk menyediakan jentera bagi tunggu sedia untuk pembangunan projek MRT.

"Tetapi apabila selesai, setelah perbincangan mulai pada tahun lepas dan juga persetujuan bersama yang kita buat kita telah bersetuju untuk menerima dan juga mengguna pakai jentera ini dan kita juga sangat meraikan sumbangan yang telah diberikan," jelasnya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM di Putrajaya.

Beliau menegaskan, sokongan pihak swasta seumpama ini memberi impak positif kepada usaha JBPM menyalurkan khidmat lebih efisien kepada masyarakat.

Dua jentera FRT berkenaan akan ditempatkan di balai bomba terpilih mengikut keperluan semasa.

ROSLINA BINTI DIN