
KUALA LUMPUR, 9 Februari – Program Jelajah Ramadan 2026 anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal merentasi 14 negeri bersempena ulang tahun ke-80 penyiar nasional itu.
- Jelajah Ramadan RTM ke-14 merentasi 14 negeri bermula 16 Feb hingga 8 Mac.
- Konvoi 20 kenderaan dan kira-kira 100 kru bersama 16 rakan penaja serta rakan strategik.
- Sibu dipilih lokasi kemuncak bertema "Satu Suara, Satu Jiwa" mengiktiraf kepelbagaian masyarakat.
- Inisiatif ulang tahun ke-80 termasuk lawatan ke 80 masjid serta program dua jam setiap hentian.
Program edisi ke-14 itu akan bermula di Johor Bahru pada 16 Februari dan berakhir di Sibu, Sarawak pada 8 Mac.
Pengarah Pemasaran dan Promosi RTM, Kamal Roslim berkata penganjuran tahun ini melibatkan 16 rakan penaja serta rakan strategik dengan konvoi 20 kenderaan dan kira-kira 100 kru.
Sibu dipilih sebagai lokasi kemuncak dengan tema “Satu Suara, Satu Jiwa” bagi mengiktiraf keunikan masyarakat majmuk serta sokongan komuniti setempat terhadap program RTM.
Menurut beliau, bersempena ulang tahun ke-80 RTM, jelajah kali ini turut merangkumi inisiatif khas mengunjungi 80 masjid di seluruh negara termasuk sebuah masjid terpilih di Sibu.
“Jelajah ini bermula lebih awal sebelum Ramadan dan akan melalui beberapa laluan utama merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebelum berakhir di Sibu.”
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Katanya lagi, setiap hentian akan diisi program selama dua jam sebelum berbuka puasa melibatkan tazkirah, majlis sumbangan serta pengisian bersama penaja dan artis jemputan.
Jelajah Ramadan RTM terus menjadi platform memperkukuh hubungan dengan masyarakat serta menyemarakkan semangat perpaduan sepanjang bulan Ramadan.