(Penolong Pengarah Seksyen Fasiliti Teknikal BES, Ts. Ahmad Shafiq Mirza Mansor)
SINGAPURA, 8 Jun- Radio Televisyen Malaysia (RTM) berjaya memenangi dua anugerah di Asia Pacific Broadcasting Awards 2023, di Singapura, sebentar tadi.
Anugerah pertama dimenangi RTM adalah melalui projek arkib digital berita atau ‘ADIB’.
Menurut Penolong Pengarah Seksyen Fasiliti Teknikal Bahagian Berita dan Ehwal Semasa (BES), Ts. Ahmad Shafiq Mirza Mansor, sistem ADIB yang digunakan RTM banyak membantu wartawan dalam mendapatkan maklumat daripada arkib dengan efisyen dan efektif.
Ia selari dengan tuntutan landskap penyiaran berita yang memerlukan informasi disiarkan dengan pantas.
"Dengan pembangunan arkib digital berita ini, maka pencarian bahan berita akan lebih terperinci dengan menggunakan sistem artificial intelligence (AI) dan "machine learning (ML)," kata Shafiq kepada RTM.
(Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Suhaimi Sulaiman turut hadir ke APB 2023 di Singapura)
ADIB memudahkan teknologi penyimpanan bahan siaran RTM dalam format digital dan boleh diakses secara dalam talian.
ADIB memenangi anugerah itu buat kali kedua selepas yang pertama menerusi The ABU Technical Review Prize 2022 di India untuk anugerah artikel terbaik berjudul High Definition (HD) News Digital Archive, Revolutionary Broadcast Technology Towards Effectiveness Future Demand.
Anugerah kedua pula yang dirangkul RTM adalah “Excellence Award For OTT Application”; menyaksikan RTMKlik dinobatkan sebagai pemenang dalam kategori itu.
Ketua Penolong Pengarah Seksyen Media Teknologi Aplikasi RTM, Ts. Nurulhusna Mohamad Kasim berkata RTMKlik diwujudkan dengan mengambil kira cara rakyat Malaysia mendapatkan berita terkini secara pantas menerusi dalam talian.
"Apa yang membezakan OTT yang lain adalah RTMKlik memaparkan semua perkhidmatan RTM dalam satu aplikasi. Itu yang membezakan kita dengan yang lain sekali gus menunjukkan RTM sentiasa berinovasi," kata Nurulhusna kepada RTM.
(Ketua Penolong Pengarah Seksyen Media Teknologi Aplikasi RTM,
Ts. Nurulhusna Mohamad Kasim)
Turut hadir pada majlis penganugerahan itu, sekali gus mewakili pengurusan tertinggi RTM, ialah Ketua Pengarah Penyiaran, Suhaimi Sulaiman.
Anugerah Asia Pacific Broadcasting bertujuan mengiktiraf inovasi dan kecemerlangan projek yang memajukan bidang penyiaran merangkumi bidang teknologi, pendigitalan dan kejuruteraan.
Majlis penganugerahan yang diadakan di Singapura itu, dihadiri wakil organisasi media dari negara-negara Asia Pasifik.