PUTRAJAYA, 8 Jun- Malaysia dan Indonesia sepakat mempertahankan kepentingan kelapa sawit yang berhadapan ancaman kempen antisawit.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada kedua-dua kementerian dari kedua-dua negara atas usaha sama mereka mencapai kata sepakat.
"Ada aspek Jokowi tekankan begitu tegas G7 dan beberapa forum antarabangsa lain pelihara kepentingan urusan dagang pengeluaran sawit bukan syarkat besar tapi pekebun kecil. Kita sambut baik kerana pertama kalinya satu suara Indonesia-Malaysia menyuarakan pertahankan kepentingan kelapa sawit," kata Anwar dalam sidang media bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo di Kompleks Seri Perdana di sini.
"Terkait dengan kolaborasi untuk melawan diskriminasi kelapa sawit dan komoditi lain, saya sangat hargai baru-baru ini dilakukan secara bersama Malaysia dan Indonesia. Kerjasama ini harus diperkuat, jangan sampai komoditi yang dihasilkan kedua-dua negara didiskriminasi negara lain," kata Joko Widodo.
Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi (KOMENKO) Indonesia, Dr Airlangga Hartarto menyertai misi bersama ke Kesatuan Eropah bagi melindungi kepentingan sektor minyak sawit kedua-dua negara.
Kunjungan itu dibuat bawah kerangka Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).
(Malaysia-Indonesia sepakat pertahan kepentingan kelapa sawit)