KUALA LUMPUR, 3 Februari- Radio Televisyen Malaysia (RTM) komited memperkenalkan idea dan segmen baharu seiring perubahan serta keperluan semasa bagi memastikan peranannya sebagai penyiar utama kekal relevan.
Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman berkata komitmen itu diperkukuh susulan kejayaan RTM tahun lalu yang menyaksikan peningkatan jumlah tontonan serta perubahan persepsi positif masyarakat terhadap penyiaran nasional.
"RTM sekarang bersaing dengan diri sendiri dan perlu berfikir sebagai pemain antarabangsa, bukan sekadar penyiar tempatan. RTM juga sedang menggunakan pelbagai teknologi baharu dalam penyampaian berita termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan penyampaian kandungan lebih efisien dan berkesan," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas sesi Townhall Continue To Raise The Bar anjuran RTM di Angkasapuri di sini hari ini yang menjadi platform untuk menyampaikan amanat, visi dan misi RTM bagi tahun 2025.
Sesi itu turut memberi ruang kepada warga RTM untuk mengemukakan pandangan, idea dan maklum balas dalam usaha mempertingkatkan mutu kerja serta penyampaian maklumat kepada masyarakat.