IPOH, 3 Februari- Seorang pendaki yang sesat ketika melakukan aktiviti mendaki di Gunung Yong Yap, Sungai Siput semalam, ditemui selamat pagi tadi.
Mangsa, Ilhami Mohd Idris, 22 tahun, ditemukan sekitar pukul 10.00 pagi oleh orang awam di kawasan kebun getah Pos Kuala Mu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 11.42 malam semalam.
Beliau berkata seramai lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput telah bergegas ke lokasi kejadian dan pencarian dimulakan pada pukul 7.30 pagi bersama agensi pasukan keselamatan lain.
Mangsa ditemui selamat oleh orang awam dan telah dibawa ke pasukan bomba pada pukul 10.26 pagi.