fb fb fb fb fb

RTM Negeri Sembilan anjur pertandingan bongai, angkat budaya negeri adat perpatih

SEREMBAN, 26 Julai- Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan akan terus memperkasa adat dan budaya unik di Negeri Sembilan menerusi platform radio, televisyen serta media sosial.

Menurut Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan, Kamal Roslim, stesen radio NEGERIfm terutamanya memainkan peranan dalam memperluas pengetahuan mengenai seni budaya yang diamalkan oleh penduduk setempat khususnya adat perpatih.

Ia termasuk sistem pemerintahan beraja yang unik di Negeri Sembilan serta peranan Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin agar dapat dihayati generasi muda.

Sehubungan dengan itu, 50 pasukan disasarkan untuk menyertai pertandingan bongai yang dijadualkan bermula September nanti.

"Di RTM Negeri Sembilan kami sentiasa mengangkat martabat institusi beraja, kalau di Negeri Sembilan dengan adat perpatih dalam siaran radio dan juga tv bahagian berita kami sentiasa menguar-uarkan berkenaan institusi diraja di negeri ini dan salah satu apa yang kami lakukan bagi mengangkat budaya di Negeri Sembilan, kami mengadakan pertandingan untuk seni budaya bongai yang sudah sekian lama tidak dipersembahkan tapi kali ini kami bawa satu pertandingan agak besar," kata Roslim.

Pertandingan Akhir Bongai NEGERIfm akan berlangsung pada September nanti dengan dua kategori dipertandingkan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM21,000.

Penyertaan bagi kedua-dua kategori adalah secara berkumpulan 10 orang dengan mematuhi dua tema iaitu nyanyian pantun asli Aspirasi Keluarga Malaysia serta nyanyian pantun kontemporari dan tarian, Usik Mengusik dan Kasih Sayang.

Selain daripada pertandingai bongai, antara program yang dilaksana NEGERIfm adalah menjemput Undang Luak Johol, Datuk Muhammad Abdullah hadir ke Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad sebagai tetamu konti radio, berkongsi ilmu mengenai institusi Undang.

"Adat itu satu kaedah menjaga kepentingan semua masyarakat ia tidak ketinggalan zaman malah adat itu berubah mengikut keadaan. Tidak ada istilah adat itu kuno dah 400 tahun dahulu, kita moden. Sebenarnya konsep itu sangat bertentangan dan tidak betul pada pandangan saya.

"Orang yang beradab dan mempunyai pedoman jadi manusia kita harap jadi insan terpilih bawa negara, negeri kita ke tahap disegani oleh dunia," katanya.


(Undang Luak Johol,Datuk Muhammad Abdullah (tengah) dan
Pengarah RTM Negeri Sembilan Kamal Roslim (kanan) di konti radio NEGERIfm)

Media Baharu