fb fb fb fb fb

JKM Melaka tamatkan bantuan 1,541 penerima

AYER KEROH, 26 Julai- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka menamatkan bantuan kepada 1,541 penerima sejak Januari hingga 30 Jun lalu.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Nordin berkata penamatan membabitkan pelbagai faktor seperti kematian penerima dan penukaran skim bantuan.

Selain telah mampu berdikari, tidak layak mendapat bantuan dan berpindah ke luar daerah.

"Penamatan ini bukanlah dilakukan begitu sahaja tapi setelah melalui proses kaji semula berdasarkan keadaan semasa oleh pegawai JKM yang mendapati wujud kriteria-kriteria tertentu yang harus ditamatkan," katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang media selepas Persidangan Ketiga Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15 di Seri Negeri, di sini hari ini.

Tambahnya, proses kaji semula sebelum proses penamatan bantuan merupakan satu prosedur yang perlu dilaksanakan bagi semua jenis bantuan mengikut Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat.

(Kalsom Nordin)

Dalam pada itu, Kalsom berkata seramai 1,249 orang menerima bantuan Cashless JKM di negeri ini bermula Mac 2021 hingga Jun lalu.

Jelasnya, Cashless merupakan satu program kebajikan sosial berasaskan platform ekonomi digital dalam mewujudkan masyarakat pintar khususnya kepada penerima JKM.

Media Baharu