fb fb fb fb fb

RTM Melaka kongsi rezeki raikan Aidiladha bersama penduduk Peringgit

(Penduduk Peringgit menerima sumbangan daging korban daripada RTM Melaka)

PERINGGIT, 11 Julai- RTM Melaka tidak ketinggalan memeriahkan sambutan Aidiladha tahun ini dengan melaksana ibadah korban.

Program dilaksana dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Peringgit itu dengan mengorbankan empat ekor lembu dan seekor kambing membabitkan 29 peserta.

Pengarah RTM Melaka , Mohd Yusni Mohamed Ali berharap melalui Program Korban Berkelompok ini secara tidak langsung dapat mengeratkan ukhwah kakitangannya dengan masyarakat setempat.

"Untuk makluman, terdapat 20 kakitangan RTM Melaka bertugas di Madrasah Peringgit, dan kakitangan kami juga turun padang bergotong royong bersama masyarakat di sini bagi memeriahkan lagi suasana korban," katanya.

(Pengarah RTM Melaka , Mohd Yusni Mohamed Ali)

Sementara itu, Pengerusi KRT Peringgit, Datuk Haron Mohd Don berharap, dengan sambutan menggalakkan, kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

"Saya mengharapkan program yang diadakan pada hari ini berjalan dengan baik dan tidak akan terputus begitu sahaja. Dan saya harapkan ia dapat diadakan sehingga ke tahun-tahun akan datang," jelasnya pada program berkenaan yang diadakan di Dataran Madrasah Al-Khairiah, Kampung Peringgit, Melaka.

Lebih 70 sukarelawan terdiri daripada kakitangan RTM Melaka dan penduduk Kampung Peringgit terlibat dalam proses ibadah korban ini yang bermula jam 10 pagi tadi.

Daging korban diedarkan kepada golongan asnaf dan penduduk setempat.

Hadir sama memberi sokongan dalam program ini, Exco Hal Ehwal Wanita , Pembangunan dan Kebajikan, Datuk Kalsom Nordin.

Media Baharu