fb fb fb fb fb

Kerja baik pulih rumah akibat ribut di Besut disegerakan

KUALA TERENGGANU, 11 Julai- Kerja pembaikian atap rumah yang rosak disegerakan susulan 150 kediaman penduduk yang terjejas akibat ribut di Besut, Sabtu lalu.

Pengerusi jawatankuasa, kebajikan, pembangunan wanita dan keluarga Terengganu, Hanafiah Mat berkata kerja baik pulih sudah bermula hari ini dan dijangka siap dalam tempoh dua hari.

Jumlah perbelanjaan pula bergantung kepada jenis kerosakan dan pembaikan terlibat.

"Proses pembaikan ini menggunakan peruntukan daripada Tabung Darul Iman yang akan membayar semua tuntutan yang diterima bagi kerja pembaikan mereka yang terjejas oleh DUN Kuala Besut," katanya kepada pemberita.

(Keadaan rumah yang rosak akibat kejadian ribut di Besut)

Dalam kejadian Sabtu lalu, 150 buah rumah di Besut rosak teruk akibat angin kencang.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, ketika ini kesemua mangsa terlibat telah dipindahkan sementara ke balai raya terdekat, selain ada yang menumpang di rumah ahli keluarga yang lain.

"Kawasan ini dilanda ujian dan juga dugaan hebat iaitu ribut yang melanda sebahagian besar kampung di Kuala Besut khususnya di sebelah mukim Kuala Besut,

"Ada antara mereka yang berpindah ke rumah keluarga buat sementara waktu, dan sekiranya proses baik pulih ini dapat disegerakan mereka akan kembali ke rumah masing-masing," katanya.

Selain 10 kampung di Kuala besut, turut terjejas beberapa penduduk di kampung Hulu Besut.

Media Baharu