RTM lancar Klinik Hati Akrab perkukuh kesejahteraan pekerja

Datuk Ashwad Ismail/ RTM

KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Radio Televisyen Malaysia (RTM) melancarkan Klinik Hati Akrab RTM sebagai ruang untuk warga kerjanya mendapatkan bantuan berkaitan psikologi, kaunseling dan kesejahteraan mental.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesihatan mental pekerja perlu diberi perhatian bermula daripada institusi keluarga untuk persekitaran kerja positif dan sokong matlamat organisasi.
  • Pekerja dimaklum keadaan emosi tidak baik adalah normal; jangan dipandang negatif, penting diberi sokongan dan pemahaman.
  • HPRTM 2026 bertema Psikologi Cinta dan Keluarga, sediakan sesi bual bicara, kaunseling dan ujian saringan kesihatan pengunjung.

Pelancaran inisiatif itu berlangsung sempena Hari Psikologi RTM (HPRTM) 2026 yang berlangsung hari ini.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail berkata kesihatan mental pekerja perlu diberikan perhatian bermula daripada institusi keluarga bagi mengekalkan persekitaran kerja yang positif dan menyokong pencapaian matlamat organisasi.

Beliau berkata pekerja perlu memahami bahawa keadaan emosi yang tidak baik merupakan sesuatu yang normal dan tidak seharusnya dipandang negatif.

“Apa yang saya boleh tekankan adalah, ia merupakan sesuatu yang normal untuk para pekerja merasakan mereka tidak berada dalam keadaan yang baik.

“…‘it’s okay to not be okay’,” katanya ketika berucap merasmikan HPRTM 2026 di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri, Kota Media di sini hari ini.

Beliau berharap program berkenaan dapat dijadikan acara tahunan bagi memastikan kesejahteraan psikologi warga kerja RTM terus diberikan perhatian.

Azlan Seruji/ RTM

Sementara itu, Pegawai Psikologi Unit Pengurusan Psikologi RTM, Azlan Seruji berkata program itu dianjurkan bersempena Bulan Kaunseling Kebangsaan dan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2026.

Azlan yang juga penyelaras program berkata pembentukan keluarga yang baik merupakan antara asas penting dalam memelihara kesejahteraan mental pekerja.

“Kita selalu bercakap mengenai kesihatan mental, namun, secara tidak sedar, kita lupakan tentang keluarga.

“Kita akan berbalik kepada asas iaitu nilai dalam pembentukan keluarga dalam melahirkan pekerja yang komited dan menghasilkan kerja yang bagus serta ke arah organisasi yang mampan,” katanya.

Bertemakan “Psikologi Cinta dan Keluarga: Menyemai Setia, Merawat Luka, Memperkasa Ikatan”, HPRTM 2026 turut menampilkan pelbagai pengisian, termasuk sesi bual bicara bersama individu berpengalaman dalam bidang kaunseling, psikologi, dakwah dan motivasi.

Program itu turut menyediakan ujian saringan kesihatan untuk pengunjung.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.