fb fb fb fb fb

RTM laksana RAS sepenuhnya pada 2028

Foto RTM

KOTA BHARU, 16 November - Semua 34 stesen radio bawah Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal beralih sepenuhnya kepada Sistem Automasi Radio (RAS) menjelang 2028.

Ini selepas pemasangan sistem berkenaan dalam masa terdekat di dua stesen yang belum melaksanakan RAS, iaitu RTM Langkawi dan RTM Bintulu.
 
Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Operasi Penyiaran), Ismail Sulaiman berkata, proses naik taraf yang bermula sejak Rancangan Malaysia Ke-11 itu sebagai usaha berterusan peralihan daripada sistem siaran analog kepada sistem automasi yang lebih efisien.
 
"Penerapan RAS mampu meningkatkan kualiti siaran, memudahkan pengurusan kandungan, serta memperkemas operasi teknikal di semua stesen radio RTM.

"Proses kendalian yang semuanya berasaskan komputer memudahkan tugasasan juruhebah radio atau petugas terlibat yang sekali gus boleh meningkatkan produktiviti," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Perasmian RAS serta Sambutan Ulang Tahun Ke-62 Kelantan FM, di sini.
 
Hadir sama, Pengarah Bahagian Program Radio RTM, Saifuzzaman Yusop dan Pengarah Penyiaran Kelantan, Ivan Toh.

Sementara itu, Saifuzzaman mahu petugas stesen radio RTM lebih kreatif untuk menghasilkan kandungan yang lebih dinamik.

RTM menyasarkan perkhidmatan radio yang lebih moden, pantas, dan relevan dengan keperluan pendengar di seluruh negara dengan pelaksanaan penuh RAS.
 
Projek RAS Kelantan FM bermula pada 1 Julai tahun lepas, melibatkan kos RM8.84 juta.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN