JOHOR BAHRU, 22 Februari- RTM Johor melancarkan Podcast Johorfm bersempena dengan Perasmian Temasya 60 Tahun stesen itu di Perkarangan Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar di sini hari ini.
Penerbitnya, Md. Saufi Md. Nawawi berkata, audio siar yang diberi nama 'Kawan Dengo' itu akan mengetengahkan topik berbeza, setiap minggu dengan penampilan tetamu jemputan khas.
"Tetamu yang akan kita jemput ke studio audio siar ini semestinya terdiri daripada golongan berpengalaman dan topik yang kita meliputi kebudayan, inspirasi kehidupan serta perjalanan kisah hidup seseorang individu.
"Ada juga berkaitan dengan RTM, dengan kompleks ini sendiri dan akan kita akan dapatkan kisah-kisah yang mungkin tidak pernah diceritakan daripada tetamu yang bakal kita undang dalam audio siar nanti," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Perasmian Temasya 60 Tahun Johorfm dan Pelancaran Podcast Johorfm di Perkarangan Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar di sini.
Inisiatif baharu itu dilancarkan, untuk memberi kelainan kepada para pendengar dengan menikmati kandungan informasi berkualiti di pelbagai lokasi, seiring dengan perkembangan teknologi pada masa kini.
Selain, ia juga sebagai inisiatif untuk mendekati golongan muda dalam memberikan maklumat dan hiburan terbaik kepada mereka.
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Program Radio, Saifuzzaman Yusop berkata, pelancaran audio siar itu diharap memberi pengalaman baharu kepada peminat setia Johorfm.
"Dengan pelancaran podcast ini kita mengharapkan sekiranya ada mana-mana stesen lain yang berhasrat untuk mengangkat kandungan menarik di negeri masing-masing.
"Jadi kandungan berkenaan boleh dimasukkan dalam platform RTMklik, dan para pendengar boleh mendapatkan informasi menarik berhubung audio siar berkenaan secara dalam talian pada bila-bila masa," katanya.
Podcast Johorfm 'Kawan Dengo' bersiaran di semua platform media sosial rasmi Johorfm pada setiap minggu bermula 9.00 pagi ,dikendalikan Penyampai Radio Johorfm, Saufi Nawawi.