KUALA KEDAH, 22 Februari- Lebih 1,000 permohonan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) di Kedah diterima setakat ini dan setiap tahun Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berjaya membina 150 buah rumah baharu.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Razlan Rafii berkata, perkara itu adalah usaha kerajaan membantu penduduk kurang berkemampuan untuk mendapatkan tempat tinggal selesa.
"Pihak kami menerima banyak permohonan melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPPKP) yang dilantik kerajaan pusat.
"Ada juga memohon terus ke KKDW dan ada melalui UMNO bahagian. Inisiatif ini dilihat sebagai usaha kerajaan untuk menyasarkan sifar miskin," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan enam buah rumah PPRS di Kubang Rotan dan Alor Janggus di kawasan Parlimen Kuala Kedah di sini.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan bahawa kementerian juga dalam usaha menyelesaikan isu berkaitan pembinaan rumah PPRS berdasarkan senarai e-kasih.
Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua UMNO bahagian Kuala Kedah, Datuk Abd Mutalib Harun.